Monday 26 April 2010

Jom Belajar 'Javanese Language'

Assalamualaikum..

Rasanya semua dah tahu bahawa saya ni anak kepada ibu yang memang orang Jawa Johor.. Saya ada lah juga belajar bahasa Jawa dengan ibu saya.. Ni yang nak berkongsi sedikit dengan sahabat-sahabat.. Semoga kalian dapat belajar sama-sama..


1. Mangan = Makan
2. Turu = Tidur
3. Warek = Kenyang
4. Ados = Mandi
5. Lanang = Lelaki
6. Wedok = Perempuan
7. Wong = Orang
8. Arek = Mahu/hendak
9. Jaluk = Minta
10.Iwak = Ikan

Hafal ye.. Jangan tak hafal.. ^_^

Saturday 24 April 2010

Bengkel Sukarelawan Muda '10

Assalamualaikum..

Alhamdulillah, setelah seminggu tidak menulis untuk post yang terbaru blog ini, saya telah diberi kekuatan untuk menulis lagi.. Untuk istiqamah dalam penulisan blog sangat memerlukan mujahadah yang tinggi.. Bukan sekadar mengisi masa lapang yang ada, tetapi juga mengejar matlamat yang utama, iaitu memperoleh redha Allah S.W.T...

Pada 16-18 April 2010, Kesatuan Pelajar Islam Johor (KPIJ) telah mengadakan Bengkel Sukarelawan Muda (BEST ’10).. Bertempat di Kompleks Belia dan Sukan Johor, Larkin, Johor Bahru, berdekatan Terminal Bas Larkin atau Larkin Sentral.. Program ini berobjektifkan pendedahan kepada anak-anak muda belia kepada aktiviti-aktiviti sukarelawan dan kesedaran tentang tanggungjawab mereka sebagai belia Islam kepada masyarakat.. Sasaran utama peserta-peserta adalah dalam kalangan pelajar-pelajar lepasan SPM, STPM dan STAM.. Saya telah diberikan amanah oleh abang-abang dan kakak-kakak KPIJ sebagai fasilitator.. Rasa teruja dan gembira serta gementar bercampur-baur dalam hati.. Mungkin kerana keterujaan untuk menambah ikatan ukhuwah sebagai saudara yang belum pernah berjumpa terutama adik-adik.. Mungkin juga kerana rasa berat amanah yang akan dipikul sebagai seorang naqib.. Tetapi, dikuatkan semangat juga demi mengajak adik-adik ke arah kebaikan..

Bertolak dari rumah bersama Khairul Mohd Amir (KMA) bersama-sama pada hari Khamis malam.. KMA juga adalah salah seorang naqib yang telah dipertanggungjawabkan untuk menjaga adik-adik.. Destinasi kami pada malam itu ialah Mustika Embun, Sekretariat KPIJ untuk membincangkan modul-modul dan pengisian yang akan dibawa dalam Latihan Dalam Kumpulan (LDK) bersama naqib-naqib dan naqibah-naqibah yang lain.. Alhamdulillah, perbincangan telah berjalan lancar..

Apabila ingin menjalankan sesuatu kebaikan, kita takkan terlepas daripada ujianNya.. Begitu juga kami.. Pihak pengurusan Kompleks Belia dan Sukan tidak membenarkan kami membawa makanan daripada luar kerana telah ditetapkan dalam peraturan kompleks.. Pada Jumaat petang, semasa sesi pendaftaran, kami mencari-cari tempat berdekatan untuk kami mengisi perut yang sudah mula berkeroncong.. Lama juga kami mencari, ditambah pula pada waktu itu, hujan lebat menerjah bumi Larkin.. Akhirnya, kami diberi kemudahan olehNya untuk menjalankan misi ‘mengisi perut’ di sebuah kawasan masjid.. Huhuhu.. Kak Far bersusah payah memerah idea untuk memikirkan plan B untuk para peserta dan urusetia menjamu selera.. Alhamdulillah, akhirnya Allah melembutkan hati-hati mereka untuk membenarkan kami makan di dalam kawasan kompleks tersebut dengan syarat menjaga kebersihan.. ^_^

Setelah majlis perasmian, naqib-naqib diberikan setiap seorang satu kumpulan seperti yang kami sedia maklum.. Saya telah terpilih untuk memandu adik-adik kumpulan 1.. Pada malam itu, kami telah berta’aruf sesama kami dengan cara yang interaktif.. Pertemuan malam itu telah membibitkan rasa sayang saya kepada adik-adik.. Teringat kepada firman Allah, “sesungguhnya orang Mukmin itu bersaudara..”.. 3 orang lelaki dan 8 orang perempuan.. 6 orang daripada mereka merupakan pelajar SMA Bugisiah, Tampok..

Setip peserta juga telah diberikan tugasan untuk menemubual dua orang responden di Terminal Bas Larkin dan di Larkin Perdana.. Isu yang telah disentuh ialah pandangan orang awam tentang kes-kes buang bayi.. Maklumlah, kejadian buang bayi semakin meningkat di negara kita pada waktu ini.. Sehinggakan persidangan meja bulat telah diadakan bagi membincangkan masalah ini.. Pelbagai ragam adik-adik dan responden-responden telah kami lihat.. Ada yang menemubual golongan ‘orang lama’ seperti mendengar ceramah daripada mereka sehingga mengambil masa yang agak lama.. Ada juga yang menemubual pendatang iaitu warga Nepal yang tidak ambil tahu langsung tentang hal sebegini.. Kebanyakan adik-adik mendapat reaksi yang positif daripada responden-responden mereka.. Alhamdulillah..

Setiap LDK yang dijalankan berlangsung dengan tautan kasih sayang sebagai tanda persaudaraan.. Saya telah menggunakan pendekatan yang memerlukan semua untuk memberikan idea dan pendapat.. Pada awalnya, ramai adik-adik ni yang malu untuk memberikan buah fikiran dalam perbincangan dan aktiviti.. Lama-kelamaan, mereka mula menunjukkan reaksi yang positif.. Masing-masing mula berani untuk bersuara menyatakan pendirian dan pendapat mereka.. Syabas adik-adik!

Abang Fuad sayang kamu semua.. InsyaAllah, abang akan follow-up kalian melalui doa dan sebagainya.. InsyaAllah.. Kalian memang sporting.. Amira, Suhadah, Fahmi, Aini, Najihah, Nabilah, Marisa,Farahanim, Faiz, Ridhwan, dan Razak.. Sayang kalian! Semoga kita bersama-sama dalam perjuangan memperoleh redhaNya.. >_<


"Ya Allah, Engkau Mengetahui bahawa hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihani-Mu, bertemu dan patuh perintah-Mu, bersatu memikul beban dakwah-Mu..

Hati-hati ini telah mengikat janji-janji setia untuk berdaulat dan menyokong syariat-Mu..

Maka, eratkanlah Ya Allah akan ikatannya..

Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini..

Tunjuklah kepada hati-hati ini jalan-Nya yang sebenar..

Penuhkanlah hati-hati ini dengan cahaya Rabbani-Mu yang tidak kunjung malap..

Lapangkan hati-hati ini dengan limpahan iman dan keindahan tawakal kepada-Mu..

Hidup suburkan hati-hati ini dengan ma'rifat tentang-Mu..

Matikanlah pemilik hati-hati ini sebagai para syuhada' dalam perjuangan agama-Mu..

Engkaulah sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong..

Ya Allah, perkenankanlah permintaan ini..

Amin.."

Wednesday 14 April 2010

Dengarlah Duhai Temanku Sayang..

Temanku,
Allah menciptakan manusia sama,
Dengan sebaik-baik kejadian,
Cuma amalan manusia itu berbeza-beza,
Ada yang lalai dengan angan-angan,
Ada yang tekun berusaha,
Tentu nasib mereka berlainan,
Kerana Allah Maha Adil sifatNya,
Kelalaian dibalas kegagalan,
Kerajinan dibalas kejayaan dan pahala,
Kau diberi peluang membuat pilihan,
Kau jua yang tanggung natijahnya.
'Sesungguhnya Kami menciptakan manusia itu dengan sebaik-baik kejadian.'
(Surah al-Tin:4)


Sedarlah temanku,
Kita musafir di dunia,
Kita akan pulang kepadaNya,
Hidup di dunia akan ditanya,
Adakah diisi dengan sebaiknya,
Atau keseronokan semata-mata?
Mahukah kita hidup terhina?
Tanpa ilmu sebagai bekalnya,
Kelak di sana rendah darjatnya.
'Allah akan mengangkat orang beriman di antaramu dan orang berilmu beberapa darjat.'
(Surah al-Mujadilah:11)

Temanku,
Renungilah sebiji cawan,
Jika tidak dituang air,
Molekul udara memenuhinya,
Begitu juga diri kita,
Jika tidak diisi iman,
Masuklah syaitan bermaharajalela,
Diri kita perlu pengisian,
Dengan ilmu dan agama,
Agar hidup dekat denganNya,
Barulah hatimu tenang bahagia.

Ketahuilah temanku,
Kemuliaan manusia bukan pada luaran,
tapi pada hati yang takutkanTuhan,
Oleh itu, tekadkan keyakinan,
Kau ummat pilihan,
Jelaskan visi perjalanan,
'Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari azab neraka.'
(Surah al-Baqarah:201)

Lantaran itu, carilah redha Tuhan,
Dengan melakukan sebaik-baik amalan,
Usaha x istiqomah - malas / masa + yakin,
Asas kejayaan,
'Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga dia mengubah nasibnya sendiri.'
(Surah ar-Ra'd:11)


Temanku,
Kau tidak bodoh andai kau gagal selepas berusaha,
Kerana itu satu ujian dan dijanjikan pahala,
Bakal mengangkatmu di sisiNya,
Jika kau redha, sabar dan terus berusaha,
Tapi, kau sememangnya bodoh,
Jika kau langsung tidak berusaha,
Kerana pasti kau akan gagal dan menderita,
Tiada nilaian pahala dariNya,
Malah kau pula menanggung dosa,
Lantaran kau sia-siakan amanah berharga.

Temanku,
Bangkitlah dari lenamu yang panjang,
dan tidak pernah berkesudahan,
Sekali kau terjatuh,
Jangan biarkan dirimu jatuh selamanya,
Kau punya kekuatan untuk bangkit semula,
dan mara berlari kencang,
mencipta taufan,
Berjuanglah temanku sayang,
Tanpa mengenal penat dan jemu,
Biar hidup kita derita dengan usaha,
Kelak kita akan dimulia,
Jika tidak di dunia,
Nun di syurga.



(Dipetik daripada novel Tautan Hati nukilan Fatimah Syarha)

Monday 12 April 2010

Kursus Pengurusan Jenazah

Semalam adalah semalam..
Namun, semalamlah yang banyak membuatku berfikir dan berzikir..
Semalamlah jua membuatkan aku terkenang..
Semalamlah jua memberikan aku inspirasi..
Dan semalamlah jua menjadikan aku lebih tabah daripada hari-hari sebelum semalam..

'Salam.. Syafuad, nk join aku ke Kursus Pengurusan Jenazah?'
Sender: Amir

Sedang aku melayari bahtera internet, tiba-tiba sahaja satu mesej ringkas masuk.. Kursus Pengurusan Jenazah? 'Rasanya, dalam kursus tu akan menunjukkan cara-cara memandikan dan mengkafankan jenazah.. Aku pun dah lama tak memperdalami bab pengurusan jenazah.. Baik aku join, alang-alang tak buat apa-apa kat rumah waktu hujung minggu ni..' Dengan berbekalkan semangat dan rasa ingin menambah ilmu yang sangat sedikit di dalam dada, aku terasa berkobar-kobar bercampur gementar dan sedih.. Apa tidaknya, kursus ini akan memperingatkan akan kematian yang tak lama lagi menjemput.. Seharusnya, kuperbetulkan niat dahulu agar berobjektifkan ke arah penambahan iman dan taqwa kepadaNya serta memperoleh redhaNya.. Mempelajarinya adalah Fardu Ain, tetapi mempraktikkannya adalah Fardu Kifayah.. Azam aku waktu itu, semoga aku dapat berbakti kepada ummah dan masyarakat sekeliling suatu saat nanti..

Kami berdua, aku dan Khairul Mohd Amir, telah berangkat ke tempat program seawal 7.30 pagi menaiki Perodua Kelisa yang dipandu oleh KMA sendiri.. Agak payah untuk mencari tempat program tersebut dijalankan.. Setelah 45 minit, akhirnya kami sampai ke Surau Nur Falah, Taman Sri Stulang.. Alhamdulillah.. Program ini telah dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat Negeri Johor (KEMAS).. KEMAS telah lama berjasa kepada masyarakat negeri Johor khususnya.. Aku bersyukur dapat menyertai salah satu program yang dianjurkan oleh KEMAS.. Tambahan pula, tiada apa-apa bayaran yang dikenakan dan ianya adalah Taman-taman Syurga di dunia ini kerana ia adalah sebuah majlis ilmu yang sangat digalakkan untuk diadakan.. Kursus ini dirasmikan oleh wakil rakyat Parlimen Johor Bahru sendiri, iaitu Y.B. Datuk Seri Utama Hj. Shahrir bin Hj. Abdul Samad.. Sangat gembira berjumpa beliau kerana beliau adalah seorang yang dikagumi rakyat atas keprihatinan beliau terhadap masalah masyarakat di Johor Bahru.. Peserta program juga memenuhi venue.. Kelihatan ramai anak-anak muda yang menyertainya, tidak terkecuali warga-warga emas.. Alhamdulillah..


Ceramah telah disampaikan oleh Tuan Bilal Shafie bin Adnan, Bilal Masjid Kg. Melayu Majidee.
Pada slot pertama, kami diterangkan cara-cara menguruskan jenazah sebelum dimandikan dan ketika dimandikan.. Rupa-rupanya, sangat sedikit ilmu yang aku tahu tentang pengurusan jenazah.. Ada yang haram dilakukan ke atas mayat seperti meletakkan Al-Quran ke atas jenazah dan adab-adab menguruskan jenazah seperti menjaga aurat jenazah dengan sempurna..
Tuan penceramah adalah seorang yang banyak pengalaman dan berkecimpung dalam bidang memandikan dan mengkafankan jenazah selama 30 tahun.. Bekerja sebagai pemandi mayat di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.. Pada slot kedua, kami ditunjukkan cara-cara memandikan mayat bermodelkan seorang anak muda yang sangat berani.. Aku diberitahu, untuk menjadi model jenazah dalam kursus seperti ini perlukan kekuatan rohani dan emosi.. Mengikut pengalaman Tuan Bilal, ada yang telah meninggal dunia selepas sebulan setelah menjadi model untuk dikafankan.. Mungkin individu tersebut tidak kuat semangatnya dan akhirnya meninggal dunia.. Semoga Allah merahmati beliau..

Apa yang aku dapat melalui program selama 4 jam ini? Banyak.. Ilmu, kefahaman dan peringatan..


Ilmu:
#Adab-adab dalam menghormati jenazah..
#Cara-cara memandikan jenazah secara lebih terperinci..
#Cara-cara mengkafankan jenazah..
#Perkara-perkara yang sunat dilakukan dan haram dilakukan semasa menguruskan jenazah..
#Cara-cara menguruskan jenazah yang tidak normal..

Kefahaman:
#Keperluan kesempurnaan pengurusan jenazah..
#Tanggungjawab sebagai penziarah dan waris si mati..
#Ilmu yang disampaikan..

Peringatan:
Aku rasa kerdil apabila mengikuti kursus ini.. Allah jualah yang superior.. Kematian bila-bila masa akan menjemput.. Tidak kiralah muda mahupun yang tua seperti buah di pohon kelapa yang gugur buahnya tidak mengira yang tua ataupun yang muda.. Ya Allah, terlalu banyak dosa yang telah aku lakukan.. Matikanlah aku dalam Husnul Khatimah.. Rasulullah telah bersabda:

Perbanyakkanlah oleh kamu mengingati akan mati kerana mengingati mati itu boleh menghapuskan dosa dan menjadikan orang yang mengingatinya zuhud di dunia.

Apabila seseorang itu ingat kepada kematian, dia akan:
@Sentiasa bersedia melakukan amalan soleh..
@Menjauhkan diri daripada kemungkaran..


Telah berkata Imam Al-Ghazali Rahimahullah:
''Orang yang mengingati mati itu akan mendapat dua faedah daripadanya:
1. Pendek angan-angannya terhadap kesenangan dunia yang tidak memberi faedah baginya di akhirat kelak..
2. Rindu dan ingin kepada akhirat.."

Kami juga diingatkan bahawa menjadi waris si mati sangat perlu kepada ilmu dan dipertanggungjawabkan untuk memandikan jenazah.. Aku sedih kerana tidak berkesempatan memandikan jenazah abah dahulu.. Perjalanan yang memakan masa 4 jam dari UIA Petaling Jaya ke Johor Bahru tidak mengizinkan aku memandikan abah.. Alhamdulillah, abang turut memandikan jenazah abah di hospital waktu itu.. Aku juga bersyukur dapat menatap wajah abah kali terakhir dan menyembahyangkan jenazah abah di rumah dan turut serta dalam pengebumiannya.. Rupa-rupanya, yang memandikan jenazah abah bersama abang di hospital ialah Tuan Bilal Shafie bin Adnan, Tuan Penceramah.. Terima kasih Tuan Bilal!

(Al-Fatihah untuk Arwah Ayahandaku, Mohamad Yahya bin Kasta.. Semoga beliau tergolong dalam golongan yang beriman dan dijauhkan dari seksa kubur.. Amin..)

Sunday 4 April 2010

Perkongsian: Kita Lupa Dia akan Marah


Semalam kita hidup. Hari ini kita diizinkan bangun. Dosa-dosa semalam belum kita usaha untuk ianya diampunkan. Hari ini kita tambah lagi dosa-dosa kita. Luka semalam belum kita ubati, hari ini kita tambah lagi luka-luka di dalam hati.

Kita rasa senang dengan kehidupan penuh ketidak kisahan ini. Kita rasa terbuai dengan kealpaan ini. Esok masih ada. Esok boleh taubat. Allah itu Maha Pengampun, tak mengapa buat dosa banyak-banyak.

Kita lupa bahawa, ada satu hari, Allah akan melepaskan kemarahan-Nya tanpa tertahan-tahan.

Allah Yang Maha Penyayang.

Allah tiada tandingan. Dalam apa jua medan, Allah SWT adalah yang terhebat. Hal ini kerana Dia adalah pencipta yang Maha Perkasa, Maha Bijaksana, Berkuasa Atas Segala-galanya, dan tiada siapa mampu menyaingi-Nya.

Dalam keperkasaan-Nya yang tiada tandingan itu, Allah SWT juga adalah yang Maha Penyayang, Maha Pengasih lagi Maha Pengampun. Dalam medan ini juga, tiada siapa dapat menandingi Allah SWT.

Lihatlah kasih sayang Allah SWT.

“Aku adalah sebagaimana hamba-Ku sangkakan mengenai-Ku, dan Aku bersamanya ketika mana dia mengingati-Ku. Sekiranya dia mengingati-Ku dalam satu majlis, maka Aku akan mengingatinya dalam majlis yang lebih mulia lagi. Sekiranya dia mendekatiku sejengkal, maka Aku akan mendekatinya sedepa. Sekiranya dia mendekati-Ku sedepa, maka Aku akan mendekatinya lebih daripada itu. Sekiranya dia datang mendekati-Ku dalam keadaan berjalan, maka Aku akan mendekatinya dalam keadaan yang pantas” hadith riwayat Muslim.

“Allah memanjangkan tangan-Nya pada waktu malam untuk mengampunkan pembuat dosa di waktu siang dan Allah memanjangkan tangan-Nya pada waktu siang untuk mengampunkan pembuat dosa pada waktu malam sehinggalah terbit matahari dari barat” Hadith Riwayat Ahmad dan Muslim.

“Barangsiapa yang bertaubat sebelum terbitnya matahari dari barat, maka taubatnya akan diterima” Hadith riwayat Ahmad dan Muslim.

Lihatlah kasih sayang Allah.

Siapakah yang mengambil peluang?

Tapi kita mengkhianati kasih sayang-Nya

Tetapi bagaimanakah pula layanan kita kepada Allah SWT?

Bila kita berdosa, kita tidak pergi pada keluasan keampunan-Nya. Kita hanya menjadikan keampunan-Nya yang amat luas itu sebagai alasan untuk kita terus melakukan dosa, pengingkaran dan kemaksiatan.

Manusia jenis apakah kita ini?

Perasankah anda, berapa umur anda sekarang?

20 tahun? 40 tahun? 60 tahun?

Kiralah berapa hari anda telah tidur dan Allah izinkan anda bangun kemudian anda melakukan dosa pada hari yang Allah hadiahkan untuk anda itu seterusnya anda tidur lagi dalam keadaan tidak bertaubat seakan-akan anda yakin dengan 100% keyakinan bahawa anda akan datang kepada hari anda membaca artikel saya sekarang ini.

Lihat. Betapa tidak sensitifnya kita kepada Allah SWT.

Betapa angkuhnya kita kepada Dia.

Betapa kita ini telah mengkhianati-Nya.

MasyaAllah.

Ada satu hari nanti Dia akan marah semarah-marah-Nya

Itulah dia hari akhirat. Hari Allah SWT akan membalas segala perbuatan manusia. Baik dan buruk pada hari itu tidak akan mendapat belas kasihan-Nya kecuali yang terpilih sahaja. Pemeriksaan Allah pada hari itu akan tersangat-sangat ketat tanpa ada perlonggaran.

Hingga ada orang yang ingkar di dunia berharap bahawa dia sebelumnya adalah tanah.

“… iaitu hari seseorang melihat apa yang telah diusahakannya; dan orang yang kafir akan berkata (pada hari itu): “Alangkah baiknya kalau aku menjadi tanah (supaya aku tidak dibangkitkan untuk dihitung amalku dan menerima balasan)” Surah An-Naba’ ayat 40.

Pada hari itu tiada lagi peluang untuk yang melupakan-Nya di dunia. Allah akan melupakan mereka itu dan tidak mengisahkan pula urusan mereka. Bahkan, Allah menambah pula kesusahan manusia-manusia ingkar ini dengan kesusahan yang melampau pada hari itu.

“Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta”. Ia berkata: “Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu melihat?” Allah berfirman: “Demikianlah keadaannya! Telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu, lalu engkau melupakan serta meninggalkannya, dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan”. Surah Toha ayat 124-126.

Allah tidak akan menutup aib mereka yang tidak pernah merasa malu dengan dosa mereka. Semuanya akan ditayangkan.

Pada hari ini, manusia-manusia yang soleh juga kerisauan. Hatta para Rasul dan Nabi juga bergementaran. Mereka takut dengan kemurkaan Allah dalam keadaan mereka itu memang orang yang taat dan bersih. Apatah lagi manusia yang selama hidupnya ingkar kepada Allah SWT.

Allah akan marah semarah-marahnya hari itu.

Tiada lagi ikhtiar, dipadam segala peluang untuk bertaubat dan mengumpul amal.

“Hari kiamat tidak akan terjadi sebelum terbitnya matahari dari barat. Ketika matahari terbit dari barat, semua manusia akan beriman. Tetapi pada hari itu tidak bermanfaat lagi iman seseorang untuk dirinya apa yang belum diimani sebelum itu, atau kebaikan yang belum diusahakan semasa keimanannya dahulu” Hadith Riwayat Bukhari.

Hari itu tidak jauh. Jangan fikir anda banyak masa

Bila disebut hari kiamat, hari akhirat, ramai yang menyangka ianya panjang dan masih jauh. Tetapi hakikatnya kiamat itu amat dekat. Dekat untuk setiap orang. Hal ini kerana, tiada siapa tahu bila nyawanya terhenti.

“Sebenarnya mereka memandang azab itu jauh (daripada berlaku), Sedang Kami memandangnya dekat,” Surah Al-Ma’arij ayat 6-7.

Ada orang bermain dengan gembira, sihat walafiat di tengah padang bola, meninggal tiba-tiba. Ada seorang sheikh, sedang memberi ceramah dalam keadaan sihat, malah sedang menuturkan kalam, tiba-tiba terdiam dan jatuh meninggal dunia. Ada orang yang sedang memandu, berhenti di lampu isyarat, tiba-tiba didapati dia tidak bergerak-gerak walaupun lampu sudah hijau, bila diperiksa dia telah meninggal dunia.

“Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya; dan Allah Amat Mendalam PengetahuanNya mengenai segala yang kamu kerjakan.” Surah Al-Munafiquun ayat 11.

Apakah ini? Bagaimana kita sangat yakin bahawa kita akan hidup sampai 10 tahun lagi. Bagaimana agaknya kita sangat yakin bahawa petang ini masih milik kita?

Tetapi kita tidak peduli. Kita tidak pernah hendak memandang atau mengambil berat perkara ini.

“Ah, tak apa. Allah Maha Pengampun”

“Tak apa, esok ada lagi”

Dan hakikatnya kita telah mengkhianati kasih sayang Allah. Kita seakan-akan telah menempah kemurkaan-Nya pada hari Dia akan murka semurka-murka-Nya.

Penutup: Apakah belum tiba masanya wahai manusia?

Belum tibakah masanya kita tunduk?

Belum tibakah masanya kita taat?

Kenapa kita masih boleh berkira-kira untuk menyerahkan diri kita kepada Allah SWT? Kenapa kita seakan-akan lebih mempercayai dunia yang akan hancur ini berbanding Allah SWT yang Abadi?

“Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik - derhaka.” Surah Al-Hadid ayat 16.

Ingatlah bahawa akan ada satu hari Allah akan benar-benar marah.

Hari Dia akan memalingkan wajah-Nya.

Dan ketika itu kita hanya menanti dilemparkan ke neraka sekiranya kita tidak mempersiapkan jiwa kita sedari saat ini.

(dipetik daripada http://ms.langitilahi.com/) ^_^

Related Posts with Thumbnails