Wednesday 14 April 2010

Dengarlah Duhai Temanku Sayang..

Temanku,
Allah menciptakan manusia sama,
Dengan sebaik-baik kejadian,
Cuma amalan manusia itu berbeza-beza,
Ada yang lalai dengan angan-angan,
Ada yang tekun berusaha,
Tentu nasib mereka berlainan,
Kerana Allah Maha Adil sifatNya,
Kelalaian dibalas kegagalan,
Kerajinan dibalas kejayaan dan pahala,
Kau diberi peluang membuat pilihan,
Kau jua yang tanggung natijahnya.
'Sesungguhnya Kami menciptakan manusia itu dengan sebaik-baik kejadian.'
(Surah al-Tin:4)


Sedarlah temanku,
Kita musafir di dunia,
Kita akan pulang kepadaNya,
Hidup di dunia akan ditanya,
Adakah diisi dengan sebaiknya,
Atau keseronokan semata-mata?
Mahukah kita hidup terhina?
Tanpa ilmu sebagai bekalnya,
Kelak di sana rendah darjatnya.
'Allah akan mengangkat orang beriman di antaramu dan orang berilmu beberapa darjat.'
(Surah al-Mujadilah:11)

Temanku,
Renungilah sebiji cawan,
Jika tidak dituang air,
Molekul udara memenuhinya,
Begitu juga diri kita,
Jika tidak diisi iman,
Masuklah syaitan bermaharajalela,
Diri kita perlu pengisian,
Dengan ilmu dan agama,
Agar hidup dekat denganNya,
Barulah hatimu tenang bahagia.

Ketahuilah temanku,
Kemuliaan manusia bukan pada luaran,
tapi pada hati yang takutkanTuhan,
Oleh itu, tekadkan keyakinan,
Kau ummat pilihan,
Jelaskan visi perjalanan,
'Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari azab neraka.'
(Surah al-Baqarah:201)

Lantaran itu, carilah redha Tuhan,
Dengan melakukan sebaik-baik amalan,
Usaha x istiqomah - malas / masa + yakin,
Asas kejayaan,
'Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga dia mengubah nasibnya sendiri.'
(Surah ar-Ra'd:11)


Temanku,
Kau tidak bodoh andai kau gagal selepas berusaha,
Kerana itu satu ujian dan dijanjikan pahala,
Bakal mengangkatmu di sisiNya,
Jika kau redha, sabar dan terus berusaha,
Tapi, kau sememangnya bodoh,
Jika kau langsung tidak berusaha,
Kerana pasti kau akan gagal dan menderita,
Tiada nilaian pahala dariNya,
Malah kau pula menanggung dosa,
Lantaran kau sia-siakan amanah berharga.

Temanku,
Bangkitlah dari lenamu yang panjang,
dan tidak pernah berkesudahan,
Sekali kau terjatuh,
Jangan biarkan dirimu jatuh selamanya,
Kau punya kekuatan untuk bangkit semula,
dan mara berlari kencang,
mencipta taufan,
Berjuanglah temanku sayang,
Tanpa mengenal penat dan jemu,
Biar hidup kita derita dengan usaha,
Kelak kita akan dimulia,
Jika tidak di dunia,
Nun di syurga.



(Dipetik daripada novel Tautan Hati nukilan Fatimah Syarha)

2 comments:

dakwatunnisa said...

Ukhuwah yang sebenar bukan terletak pada manisnya pertemuan tetapi ingatan terhadap sahabatnya di dalam doanya. (Imam Al-Ghazali)

sYaFuaD said...

Syukron uatas perkongsian anti.. =)

Related Posts with Thumbnails