Allah menciptakan manusia sama, Dengan sebaik-baik kejadian, Cuma amalan manusia itu berbeza-beza, Ada yang lalai dengan angan-angan, Ada yang tekun berusaha, Tentu nasib mereka berlainan, Kerana Allah Maha Adil sifatNya, Kelalaian dibalas kegagalan, Kerajinan dibalas kejayaan dan pahala, Kau diberi peluang membuat pilihan, Kau jua yang tanggung natijahnya. 'Sesungguhnya Kami menciptakan manusia itu dengan sebaik-baik kejadian.' (Surah al-Tin:4)
Sedarlah temanku, Kita musafir di dunia, Kita akan pulang kepadaNya, Hidup di dunia akan ditanya, Adakah diisi dengan sebaiknya, Atau keseronokan semata-mata? Mahukah kita hidup terhina? Tanpa ilmu sebagai bekalnya, Kelak di sana rendah darjatnya. 'Allah akan mengangkat orang beriman di antaramu dan orang berilmu beberapa darjat.' (Surah al-Mujadilah:11)
Temanku, Renungilah sebiji cawan, Jika tidak dituang air, Molekul udara memenuhinya, Begitu juga diri kita, Jika tidak diisi iman, Masuklah syaitan bermaharajalela, Diri kita perlu pengisian, Dengan ilmu dan agama, Agar hidup dekat denganNya, Barulah hatimu tenang bahagia.
Ketahuilah temanku, Kemuliaan manusia bukan pada luaran, tapi pada hati yang takutkanTuhan, Oleh itu, tekadkan keyakinan, Kau ummat pilihan, Jelaskan visi perjalanan, 'Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari azab neraka.' (Surah al-Baqarah:201)
Lantaran itu, carilah redha Tuhan, Dengan melakukan sebaik-baik amalan, Usaha x istiqomah - malas / masa + yakin, Asas kejayaan, 'Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga dia mengubah nasibnya sendiri.' (Surah ar-Ra'd:11)
Temanku, Kau tidak bodoh andai kau gagal selepas berusaha, Kerana itu satu ujian dan dijanjikan pahala, Bakal mengangkatmu di sisiNya, Jika kau redha, sabar dan terus berusaha, Tapi, kau sememangnya bodoh, Jika kau langsung tidak berusaha, Kerana pasti kau akan gagal dan menderita, Tiada nilaian pahala dariNya, Malah kau pula menanggung dosa, Lantaran kau sia-siakan amanah berharga.
Temanku, Bangkitlah dari lenamu yang panjang, dan tidak pernah berkesudahan, Sekali kau terjatuh, Jangan biarkan dirimu jatuh selamanya, Kau punya kekuatan untuk bangkit semula, dan mara berlari kencang, mencipta taufan, Berjuanglah temanku sayang, Tanpa mengenal penat dan jemu, Biar hidup kita derita dengan usaha, Kelak kita akan dimulia, Jika tidak di dunia, Nun di syurga.
(Dipetik daripada novel Tautan Hati nukilan Fatimah Syarha)
Perkataan-perkataan itu mula menerjah ke mindaku sejak pagi tadi.. Kutatap akhbar Berita Harian bertarikh 2 April 2010.. "Din Beramboi Selamat Dikebumikan".. Berderau jantungku mengingatkan diriku bahawa hidup kita ni sementara.. Sihat dan masih muda bukanlah jaminan untuk kita masih bernafas pada hari esok.. Bahkan mungkin sebentar lagi kita akan dijemput olehNya.. Sesungguhnya, kematian adalah sesuatu yang paling dekat dengan kita..
Aku masih ingat waktu itu.. Tanggal 10 Jun 2009 masih segar lagi dalam ingatan.. "Ad, abah dah tak ada!".. Kak Ieda dengan sebak dan suara putus-putus memberitahu di hujung talian telefon.. Aku hilang kata-kata waktu itu.. Siapa sangka.. Abah tak sakit pun.. Abah sihat aje.. Tak mungkin.. Mungkin aku silap dengar.. Abah kan kuat.. Accident tu takkan buat abah tinggalkan kami.. Aku takkan percaya selagi tak lihat dengan mata kepala aku sendiri..
Sampai sahaja di rumah, Kak Ieda kupeluk.. Air mata bercucuran tanpa henti.. Suasana ketika itu.. Muram.. Sedih.. Setelah beberapa ketika, jenazah sampai.. Abah!! Aku seperti tidak percaya.. Sebujur badan yang tidak lagi bernafas.. Kaku.. Ya Allah, besarnya ujianMu buat kami sekeluarga.. Aku cium abah buat kali terakhir.. Sejuk.. Itulah kali terakhir aku menatap wajah seorang abah yang tabah dan amat menyayangi keluarganya.. Aku redha atas pemergian abah.. Aku sedar, satu hari nanti, aku pun akan menyusul abah.. "Ad, abah nak pergi ni.. Pasni tak jumpa lagi tau.." Itulah kata-kata terakhir abah kepadaku sebelum aku berangkat ke UIA untuk memulakan semester yang baru.. Cuma aku manusia biasa.. Tidak sedar pun petanda hamba Allah yang akan menemui Sang Pencipta.. Semoga Abah diampunkan segala dosa-dosanya dan ditempatkan dalam kalangan hambaNya yang beriman..
Setiap manusia yang normal memahami bahawa suatu saat dia akan meninggalkan dunia yang fana ini. Sebahagian orang mungkin menganggap bahawa kematian itu sesuatu yang ngeri, tidak menarik malah menakutkan. Namun, walau apapun, setiap manusia pasti akan menempuh kematian. Demikianlah janji Allah s.w.t. Cuma masa dan cara kematian itu sahaja yang berbeza di antara manusia. Firman Allah s.w.t. bermaksud:
"Tiap-tiap yang bernyawa itu akan merasakan mati"(Surah Ali Imran : 185).
Mengingati mati bukanlah bertujuan untuk melenyapkan kebahagiaan dan keseronokan hidup di dunia. Islam mengajarkan agar manusia banyak-banyak mengingati mati dengan harapan menjadi pendorong untuk aktif melakukan perkara kebajikan dan amal salih, kerana mengingat bahawa dunia ini hanyalah tempat persinggahan sementara, sedangkan akhiratlah kehidupan yang sebenar-benarnya lagi berkekalan. Hidup di dunia ini sebenarnya dijadikan Allah sebagai tempat untuk manusia beramal salih, berbakti dan beribadah kepada Allah SWT. Bukankah Rasulullah s.a.w. dalam sabdanya menyatakan yang bahawa dunia merupakan sawah ladang untuk akhirat. Ertinya, dunia sebagai tempat ini mengumpul amalan baik, sedang akhirat adalah tempat memetik hasil dari amalan tersebut. Dalam hadith yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud:
"Berbahagialah hidup di dunia bagi orang yang mengumpul kebajikan untuk bekalan hari akhiratnya, sehingga ia memperolehi ridha Tuhannya. Dan celakalah hidup di dunia bagi orang yang dipengaruhi oleh dunia, sehingga ia terhalang dari (mengerjakan) amalan untuk akhiratnya, dan lalai untuk memperolehi redha Tuhannya" (HR. al-Hakim).
Oleh kerana kematian itu sesuatu yang pasti menemui seseorang dan tidak pula diketahui bila saatnya, maka orang yang selalu ingat mati pasti akan sentiasa bersiap sedia dengan cara bertekun dan terus memperhebatkan usaha melakukan amal soleh, kerana amalan baik sahajalah yang akan menjadi penilaian Allah s.w.t. di hari akhirat kelak, dan inilah sebenarnya sifat orang yang cerdik menurut Rasulullah s.a.w., sepertimana sabda baginda bermaksud:
"Orang yang sempurna akalnya (yakni yang cerdik dan pintar) ialah orang yang suka memeriksa (muhasabah) dirinya sendiri di samping banyak beramal sebagai bekalan untuk menghadapi selepas matinya. Adapun orang yang lemah (yakni yang bodoh) pula ialah orang yang selalu mengikut runtunan hawa nafsunya dan ia berangan-angan (yakni mendapat kurniaan Allah tanpa beramal)”.(HR. At-Tirmizi, Ahmad dan Ibnu Majah).
Seseorang yang akan menempuh kematian tanpa membekali diri dengan kebajikan dan amal soleh, jelas benar-benar memilih kesengsaraan abadi di akhirat. Sebelum merasai azab yang pedih tak terperi di akhirat, seseorang yang derhaka dan banyak berbuat kejahatan di dunia, akan terlebih dahulu menempuh azab yang juga hebat iaitu semasa di alam barzakh. Saidina Abu Bakar As-Siddiq berkata :
"Sesiapa yang memasuki kubur (alam barzakh) tanpa bekalan (berupa amal soleh), seolah-olah ia belayar di lautan tanpa kapal/sampan.
Diceritakan pula bahawa Saidina Uthman bin Affan sering kali menangis di perkuburan. Maka, ada yang bertanya beliau: "Wahai Amirul Mukminin! Mengapa tuan sering menangis ketika di perkuburan?" Jawab beliau: "Kerana saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:
"Kubur adalah merupakan tempat pertama menuju akhirat, kalau seseorang itu sudah lepas dalam persoalan kubur, maka ujian yang selepasnya akan menjadi lebih ringan, tetapi kalau belum lepas, maka yang sesudahnya akan menjadi lebih hebat/dahsyat lagi"(HR. At-Tirmizi).
Sebahagian ulama' menyatakan bahawa, sesiapa yang banyak mengingati mati, maka ia akan memberi keutamaan kepada tiga perkara iaitu
1. segera bertaubat
2. berhati tenang
3. rajin beribadah. Tetapi barangsiapa yang melupakan mati, ia akan menderita tiga perkara iaitu
1. menunda-nunda waktu untuk bertaubat (terkadang meninggal tak sempat bertaubat)
2. tidak rela hidup sederhana, dan
3. malas beribadah.
Oleh itu, marilah kita insafi bahawa kehidupan di dunia ini hanya sementara. Walaupun hebat macam manapun kedudukan seseorang, kematian adalah perkara yang pasti akan ditempuhinya. Segala kelebihan berupa pangkat, harta, kesombongan, darjat dan kekuasaan hanya mengiringi seseorang ke liang lahad. Bekalan kita hanyalah berupa amalan baik yang selama ini kita usahakan.
Sememangnya dunia ini tempat untuk beramal, maka manfaatkanlah masa hidup yang Allah SWT kurniakan untuk berbuat kebajikan sebanyak-banyaknya.
Ingatlah bahawa saat-saat kematian itu amatlah pedih dan mengerikan, sebagaimana sabda Nabi s.a.w. bermaksud:
"Sesungguhnya mati itu adalah amat pedih umpama ditetak dengan pedang beberapa kali atau digergaji ataupun digunting beberapa kali guntingan" (HR. Abu Na'im).
Akhirnya, untuk memanfaatkan usia yang masih ada kearah beramal soleh, renungkan selalu pesanan Nabi s.a.w. menerusi sabdanya bermaksud:
"Pergunakan (rebutlah) lima keadaan sebelum datang lima keadaan yang lain, iaitu: keadaan mudamu sebelum keadaan tuamu, keadaan sihatmu sebelum datang keadaan sakitmu, keadaan ketika engkau berada sebelum datang keadaan engkau berhajat, keadaan semasa engkau lapang sebelum datang waktu sibuk, dan keadaan semasa engkau masih hidup sebelum datang kematianmu" (HR. At-Tirmizi)