Saturday 20 March 2010

Sedetik Menoleh kepada Allah, Baru Tersedar Selama-lamanya Kita Diperhatikan oleh Kasih Sayang-Nya

Seekor unta apabila sampai ke tahap mabuk kasih dan rindu kepada pasangannya, akan berlaku kepadanya dua perkara:

1. ia tidak mempedulikan lagi soal makan dan minum walaupun keadaan sangat sukar dan sekeliling membara.
2. ia tidak menghiraukan seberat manapun beban yang dipikulkan ke atas belakangnya, ia tetap berjalan dengan pandangan kosong dan polos tetapi melangkah dengan penuh gagah tidak goyah.

Begitulah hebatnya kuasa cinta dan rindu. Seorang hamba yang inginkan kebaikan, perlu ada rasa cinta dan rindu kepada Allah. Seorang insan yang telah memilikinya berbeza dengan manusia lain. Ia merupakan tenaga dalaman yang sangat lembut tetapi berupaya menggerakkan tindakan sekuat ledakan bom atom. Ia juga merupakan benteng paling dingin tetapi berupaya menepis walau sebesar mana sekalipun badai, cabaran dan hambatan yang datang.

Malangnya, manusia begitu asyik dengan cinta dan rindu sesama mereka. mereka mendewa-dewakan cinta, memuja kecantikan, membenam rindu dalam lautan perasaan, keghairahan mengisi segenap ruang dan nafsu bergelojak tanpa batas. Akhirnya semua menjadi mabuk dengan keindahannya.

Mereka lupa tentang luasnya daerah kasih sayang Penciptanya. Mereka tidak sedar bahawa mereka itu disayangi, dikasihi dan dirindui oleh Allah. Hanya mereka yang sesaat memerhati kepada limpah rahmat dan nikmat Allah, yang mahu mengetahui tentang hakikat dirinya dan melakukan muhasabah akan tersedar bahawa selama-lamanya kita ini berada di bawah naungan kasih sayang-Nya.

Dia yang tidak akan membiarkan kita menangis dan kecewa.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails